Wednesday, June 23, 2010

insecurity


Aku tak boleh dilingkari orang-orang yang ‘tinggi’.

Orang-orang yang bijak pandai, berbual dalam bahasa bombastik dan terma-terma rumit, jelas melukis paras IQ mereka yang mencakar langit.

Orang-orang yang mencapai banyak pada usia muda dan bercerita mengenainya, dan tentulah ia bukan salah kerana benar, mereka sudah mencapai banyak pada usia muda.

Wanita-wanita yang sangat lincah, sangat cantik, peka acara terbaru yang terjadi di sekeliling, tahu tiap-tiap butik yang sedang sale.

Pemuda-pemuda yang berkeyakinan tinggi dan bercakap mengenai gadis comel 1, gadis manja 2, gadis ayu 3 dan gadis matang 4 yang memuja mereka, sementara mereka sibuk dengan tugas berat lagi hebat sebagai doktor, arkitek, jurutera, peguam.

Aku tak boleh dilingkari orang-orang yang tinggi begini. Bilamana mereka berbual, aku cuma mampu diam, dan minda aku merewang tertanya dari mana mereka jumpa keyakinan setinggi ini.

Kenapa aku tak bertemu keyakinan setinggi ini walaupun pernah aku cari.

Kemudian pada malamnya aku mengesot ke atas katil, tubuh hina aku merengkot dan perlahan-lahan bergulung kecil, memikir bagaimana mereka boleh bernafas tanpa rasa ini. Bagaimana aku saja yang diselaputi rasa ini. Bagaimana aku boleh tersangkut di stesen ini; di kalangan mereka yang hidupnya sudah terlalu penuh, jiwanya sudah terlalu padat, berbanding aku yang saban hari cungap-cungap terapung, kakiku cuba mengayuh, kepalaku cuak mendongak, agar aku tidak tenggelam dan mati lemas dalam rasa yang sudah di takat tengkuk ini.

Insecurity.

Terima kasih orang-orang sempurna. Aku sudah sedar kenapa aku jatuh cinta dengan mereka-mereka dikeliling aku.

Kerana kami banyak lubang.

Mereka aku gelar askar kerana mereka selalu hadap peluru. Selalu ditembak jatuh dan berjalan tempang sampai tak terhisab, apa lagi bangga bercerita. Mulut kata kuat tapi kuat menangis; semuanya cengeng. Sama-sama tak ada apa tapi bila sama-sama jadi ada apa sebab jumpa indah dalam tak ada apa. Cari kukuh dalam hodoh. Cari nikmat dalam cacat.

Mereka bukan paling pandai, bukan paling berjaya, bukan paling hebat, bukan paling kaya, bukan paling cantik, bukan paling kacak dan disukai semua. Mereka berlubang seperti aku dan kami saling isi lubang-lubang yang wujud sampai padu.

Sungguh, aku tak boleh dilingkari sempurna.
Dari serangga aku jadi hama.

Kecil, kecil, kecil, dan lama-lama… lenyap.


by Wani Ardy


* nah. apa yang dia rasa sangat2 sama dengan apa yang aku rasa saat ini. aku rasa hilang ditenggelam orang2 sempurna cukup hanya mendengar cerita2 hebat mereka. cukup sempurna, cukup indah serba serbi. aku pula membesar dengan kritikan, ejekan dan kegagalan. tiada apa yang dapat dibanggakan. tapi itu semua buat aku faham bahawa hidup ini ada turun naiknya. masih, aku bersyukur jadi aku, bersyukur dengan hidup aku. tidak sempurna, tapi cukup.

0 comments: